Dulu rambutmu sampai ke hujung telinga.
Lalu kamu memotongnya. Saya tidak mengata apa-apa. Bagi saya, seperti apa pun rambutmu, kamu tetap teman yang baik. Kita tertawa waktu itu, menyendok aiskrim dari mangkuk di siang hari musim panas, di tiup angin dari kipas angin murah itu. Rambut saya terbang. Saya berusaha mengikatnya menjadi seperti ekor kuda. Kamu masih asyik dengan aiskrim yang saya bawa tadi, perisa strawberi keemasan satu liter. Lumayan memenuhi perut dan meredakan panas badan.
Lalu saya bertanya tentang kopiahmu. Kopiah kumalmu yang tak pernah kamu lepaskan dari kepala. Kamu yang tertawa sekarang, tidak menjawab apa-apa.
Tidak tahukah kamu, ada kerlip dari bola matamu. Seperti kunang-kunang, yang pasti saya suka sekali melihatnya. Saya menatap kamu asyik.
Kamu bertanya, "Apa?"
Saya menjawab, "Kacamatamu kotor." lalu saya meraih kacamata itu. Meniupkan nafas dan mengelapnya dengan hujung lengan baju kurung saya. Kamu mengucapkan terimakasih. Untuk aiskrim, dan kacamata.
Saya tertawa, kamu juga.
Lalu waktu lama berlalu.
Kamu sibuk, saya juga. Kehidupan menyeret kita ke jalan yang berbeza, sampai siang itu tiba. Siang yang sama panasnya dengan siang waktu dulu kita makan aiskrim strawberi keemasan satu liter.
Kamu lebih dewasa, saya juga barangkali. Rambutmu dipangkas habis. Kamu kelihatan tampan. Saya melontarkan kata-kata spontan. Kamu tertawa, menawarkan tumpangan. Rambut saya sudah tidak kelihatan lagi kerana saya kini bertudung. Dan kamu berkata; sungguh manis sekali. saya tersipu.
Kamu bertanya, apakah saya tidak merasa panas? Saya kata iya. Lalu kita makan aiskrim lagi. Kali ini tidak di teras kamarmu, tidak sambil ditiup kipas angin murahan. Kita makan aiskrim di kafe kecil. Berborak. Tertawa. Seperti dulu. Saya senang, kamu tidak berubah. Kamu masih sama.
Masih ada kerlip bak kunang-kunang di bola mata coklat muda itu.Masih tetap dengan kopiah lusuhmu. Masih murah dengan senyum seperti dulu.
Kamu mencedok aiskrim saya. Mengambil blueberry yang ada di sana-sini. Kamu lalu menyendoki aiskrim strawberi di mangkukmu ke mangkuk saya. "Tukar." lalu kamu tertawa lagi.
Saya tertawa mengikutimu. Makan aiskrimmu dengan nikmat, "Terimakasih"
"Sama-sama"
Lalu malam itu, kamu mengajak saya minum kopi bersama. Lagi-lagi di kafe. Kita bersantai lama-lama, minum kopi, menonton siapa saja yang melewati di jalanan. Kamu memakan biskut keju saya. Katamu; "Biskut keju tidak sepadan dengan kopi". Saya menghirup sedikit kopimu yang terlalu pahit.
Malam itu, kita berubah. Semuanya juga berubah.
Kerana esok harinya, saya memeluk lenganmu. Kerana esok harinya kamu sering merenung saya. Kita lebih sering bersama. Kita tertawa.
Tapi tidak lama.
Kerana kamu pergi entah ke mana.
Sekarang sudah terlalu lama berlalu, dan saya masih ingat rasa aiskrim strawberi yang manis-masam, di siang hari terik yang ditiup angin sepoi dari kipas angin murahan itu.
Hari itu dingin dan kelabu. Langit juga dingin dan kelabu.Saya menaruh sekotak aiskrim strawberi di depan gambarmu. Berharap kamu juga masih ingat rasa aiskrim strawberi manis-masam yang saya beli di siang itu.
Kipas angin murahan itu masih saya simpan. Ada dalam kotak di stor. Saya tidak pernah mengeluarkannya lagi. Terlalu manis-masam rasa anginnya. Semuanya tentang kamu.
:Bintang Kartika
06:59pm
Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.
Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.
Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment