Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.

Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.

Senja

Senja meniti ranting-ranting awan
memilih arah antara kesal dan pasrah
antara ghairah berselimut angin berwarna merah
mengumpul debu-debu cinta berterbangan
kau terasak di dinding malam yang gelap
kau terasak di dinding hati yang bersepah dengan karat
dan manik-manik cair mengalir membasahi lantai hayat.

Senja meniti perca-perca awan
kelak menitiskan hujan,membasahi malam
yang larut bersama runtuhnya jingga merah
dan kau terkedu bersama nipisnya batas iman
runtuh dan pecah di pusaran nafsu duniawi
lalu kau hanya mampu menangisi jejak-jejak hitam yang tertinggal
lalu kau hanya mampu mengumpul kesal tanpa ada batas kesudahan.

Senja meniti retak bingkai awan
kelak tergaul segala mimpi menjadi kabus berdebu
akan berkilau di sinari cahaya bulan dan bintang
atau gugur membasahi kontang sekeping hati
dan kau terhenti bermimpi di pusara diri,menyelidiki hati
kerana hidayat sentiasa menanti engkau kembali menyelami hati.

Yajuk
Bukit jering
25 mac 2012

No comments:

Post a Comment