Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.

Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.

Syurga Rumahtangga Itu Fitrah Hati


Naluri semulajadi yang pinta diisi
Kerananya jejaka rela menjadi suami
Kerananya perawan rela menjadi isteri
Masing-masing dengan harapan dan visi
Agar rumahtangga membawa erti

Sama bermatlamat yang satu
Dengan arah dan jalan berliku
Destinasi sama kaedah berbeza
Lalu bermacamlah cara ke sana
Pelbagai cara timbulkan dilema
Mencari yang benar mempelai bicara...

kalaulah bahagia itu pada harta...
kenapa tetap wujud perpisahan
kalaulah bahagia itu pada nama...
kenapa tetap wujud perpecahan
kalaulah bahagia itu pada rupa...
kenapa tetap wujud pertelagahan
kalaulah bahagia itu pada kuasa...
kenapa tetap wujud persengketaan

Bahagia itu dari hati
Kesan yang zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di hati
Terbenam bagai mutiara nurani

Bahagia itu pada HATI
Bertakhta di kerajaan sendiri
Bahagia itu pada JIWA
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu pada PERASAAN
Berdiri teguh di kamar kesabaran

Bila susah tak gelisah
Bila miskin tak pemarah
Bila gagal tidak resah
Bila rindu tidak gundah

Binalah rumahtangga atas tapak iman
Tuluskan niat luruskan matlamat
'suamiku, kaulah pemimpin menuju Ilahi'
'isteriku, kaulah permaisuri hati....'
muktamadlah akad sahlah nikah
dengan nama Allah...
gerbang perkahwinanpun terserlah

Di atas tapak iman
Dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan
Syariat itu jalan
tempat merujuk segala permasalahan
tempat mencari semua penyelesaian

Kesunyian

kesunyian
yang
paling
kusukai,
tiada
sesiapa;
selainku,
di hatimu.

— @HamdaniEva



Omong Kosong



alahai dewi sukma rindu
apa lagi yang kamu omongkan
manis sungguh bicaramu
hingga keras hati sang arjuna
mencair bagaikan ais

alahai dewi sukma rindu
kainmu terselak tanpa sedar
biarpun aku telah berpaling
tapi masyarakat masih melihat

cukupcukup sudah
mencanang sandiwara
kerna lidahmu makin bercabang


hanYa kaWan
120612

Kita Yang Leka


kita yang leka
terkusut cakaran kata
terikutikut mainan dalang

kita yang leka
bersorak ramai
gempita mengata kita raikan

kita yang leka
antara sedar atau tidak
hanyut dalam kekejian

kita yang leka
tetap enggan terjaga
seperti mat Jenin terus bermimpi


120612
Kota Singa

Jika Bercinta Lagi (II)


hatiku borobudur
candi tempat kaupuja

jiwaku taj mahal
tempat kau beradu lena

syairsyair kukidungkan
di arena colosseum

seperti Aisyah taati Rasulullah
begitulah Aisya taati habibinya ;))


120612
Kota Singa

Di Lautan Kemurkaan, di Dataran Jahannam


laungkan cinta..
jeritkan rindu.
dalam bayangan jelajah Adam
menangiskah Hawa di aliran darah
terdengarkah Dia..dalam relung Yang Maha Mendengar
atau WajahNya berpaling..dalam KeMaha Besaran Dia
Yang mahu menguji satu Kesabaran
Yang mahu melihat sebuah keredhaan...
atau kebosanannya melimpah di lautan Kemurkaan
mahu membakar amarahnya di dataran Jahannam
agar apinya menjulang api
dan mengeringkan kedinginan air cintanya
dalam nafasNya sendiri
dalam alir merah darahnya
yang terbenam di bayangan jasadnya
yang mahu Adam menemani Hawa di Jabal Rahmah
dan sujud berwukuf di sejadah Arafah....!!
bangkitlah...wahai aku...!!
bangunlah wahai kamu...!!
jagalah wahai yang tertidur..!!


AwaL

Di Senja


di senja jingga dan ungu
ada salam yang terlewat sampai
biarpun sampulnya berkedut lusuh
hati rindunya tak pernah merajuk
penuh redha dalam kepasrahan.

di hujung langit hitam dan gelap
ada titis mata tersorok diam
membasahi bintang dan bulan
namun hati kacanya tak pernah lebur
penuh tabah dalam kepedihan.

dalam lewat bersambut salam
ada kasih tak terungkap
ada cinta tak terikat
ada luka tak terubat
tersimpan di langit malam.