Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.

Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.

Di Tingkat 27 The Ascott

Dari tinggi tingkat 27 The Ascott,Kuala Lumpur
tak kelihatan lagi rumput-rumputan yang melata di resah merah tanah
tapi masih kulihat langit tetap jauh dan tinggi tak tergapai tangan dan mimpi
awan gelap masih tebal mengurung hati dalam tempurung rasa tanpa jejak
kerana mata yang terbuka tetap buta untuk melihat garis sempadan ukhrawi
lalu hati hanya mampu menjadi kilang mimpi tanpa mengerti
lalu akal hanya mampu menjadi kilang perencana tanpa ada kuasa melaksana

Kerana aku berada di tinggi tingkat 27 The Ascott
kilauan warna warni neon memukau seluruh pandangan
tapi gemerlap cahaya di jalanan tidak merubah langit malam
tanpa bulan dan bintang langit malam tetap pekat dengan kegelapan
tiada bezanya gelap malam di bandaraya dengan gelap malam di desa pedalaman
kerana malam hanya bercahaya dengan hati di sinari iman
kerana malam hanya berbunga bahagia dengan hati di bungai taqwa.

Kerana aku berada di The Ascott yang serba mewah
lupa aku akan pacat dan nyamuk yang sentiasa mahu menghisap darah
lupa aku akan panas mentari yang membakar hangus ubun-ubun kepala
dan aku mengunci diri di kamar mimpi tanpa perlu mengingati onak dan duri yang sentasa mencucuk kaki
dan aku mula mengerti kenapa para menteri dan yb hilang setiap lepas pengiraan undi
dan aku mula mengerti kenapa derita para pengundi terus berlarutan walau para menteri telah 55 tahun menabur janji.

Yajuk
The Ascott,K Lumpur
29 mac 2012

No comments:

Post a Comment