Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.

Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.

Kerana Jebat Hanya Ada Seorang Isteri



Kerana Jebat hanya ada seorang isteri
maka dialah lelaki paling jahat
ada hati yang terkunci rapat
tak tahu menitik benih cinta
maka ramai wanita yang selamat
tak perlu rasa malu atau mendapat malu
kerana punya keturunan dan zuriat
dari baka Jebat yang jahat.

Kerana jebat hanya ada seorang isteri
dia hanya meninggalkan Hang Nadim menjadi anak yatim
dia yang menggantikan betis dengan batang pisang
dia yang menyelamatkan Singapura dari todak
maka dia dicampak ke laut kerana terlalu bijak
maka dia dihadiahkan kematian kerana berani menunjuk bijak
maka dia dihadiahkan kematian kerana dia seorang kanak-kanak.

Kerana Jebat hanya ada seorang isteri
beranikah dia melanggar sumpah
"berani kerana benar,takut kerana salah"
"Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah"
beranikah dia hidup bermukah
beranikah dia melanggar perintah Allah
atau ia sebenarnya fitnah pemerintah.

Kerana Jebat hanya ada seorang isteri
beranilah dia mengirim sembah derhaka
maka dia dituduh bermukah dengan gundik dan dayang untuk menghalalkan pembunuhannya
maka dia dihadiahkan ramai gundik dan dayang selepas kematiannya.

Yajuk
Bukit jering
15 mei 2012

No comments:

Post a Comment