Masihkah senyuman itu berharga pada musim dendam bercanda
di muka cermin senyum hanya mengintai tumbuhnya taring kebencian
di muka cermin senyuman bergumpal asap dendam yang membakar hati sendiri
lalu syak wasangka menjadi baris-baris ayat dalam kitab panduan hati
lalu syak wasangka menjadi bayang-bayang kepada tiap kosakata dalam tidur dan jaga.
Masihkah senyuman berharga pada musim dendam bercanda
di lubuk hati senyuman menjadi pepohon tanpa daun
di lubuk hati senyuman menjadi pepohon ditumbuhi dedalu
kerana iman telah terbakar bersama hati dipenuhi api dendam
kerana iman telah layu bersama hati yang terbelit syak wasangka
lalu jadilah mereka musafir di gurun sahara menanggung lapar dan dahaga
lalu jadilah mereka harimau jadian yang sentiasa mahu menerkam mangsa
Masihkah senyuman itu berharga pada musim dendam bercanda
wajah-wajah kesayangan pun ikut menjadi hantu paling huduh di dunia
walau jauh di lubuk hati rindu memeluk kemas di cebisan-cebisan kaca yang terhempas
dan rindu menjadi orang asing dalam merah warna api yang galak membakar hati
lalu jadilah mereka orang gila yang galak membakar diri sendiri
lalu jadilah mereka benar-benar gila kerana akal dan hati tidak berfungsi lagi
moga Allah turunkan hujan memadamkan api yang menghitamlegamkan hati.
Yajuk
Bukit jering
16 april 2012
Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.
Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.
Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment