Tujuan kumpulan puisi online PBKS ini diwujudkan adalah untuk memartabatkan bahasa melayu kebangsaan dan bahasa nusantara di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah dalam dunia penulisan melayu nusantara di maya.Salam persaudaraan serumpun buat semua.

Pihak kami sangat menghargai karya-karya yang dikongsikan di sini. Oleh yang demikian,sebarang pengeluaran semula karya haruslah merujuk dan mendapat keizinan pihak admin terlebih dahulu.

Sesekali Kenangan Merempuh Tembok Hayatku



Sesekali kenangan merempuh tembok hayatku masa kini
hati terlontar ke musim kita bercanda di batas penuh duri
hati terlontar ke musim kita bercanda berselimut kain koyak bertampal seribu
mendakap tangis anak-anak yang kedinginan dalam rumah berbumbung awan di langit sana sini
alhamdulillah,kenanganku menjadi basah dalam rintik air hujan kesyukuran
alhamdulillah,kenanganku menjadi dingin dalam jernihnya air sungai yang mengalir membasahi lipatan sejarah perjuangan diri.

Luka hati yang tersiat sembilu di batas berduri itu
biarkan berparut berbungkus reda dan syukur
kerana ia memberikan kita ruang untuk menilik hati
kerana ia memberikan kita neraca untuk menimbang budi
jalan lurus hanya cerah disinari cahaya hati yang suci
jalan lurus hanya terbina di atas lantai hati yang dipenuhi iman dan taqwa

Tak mengapa sayang,lupakan resah ombak yang mencipta retak hati di dada
kita tahu di mana kita setelah lama merentasi denai dan lurah
di batas berduri itu kita mencungap dalam nafas yang tersekat
kerana kita kembali merintis jalan yang semua mereka telah lupa
kerana kita kembali merombak hutan di kotaraya yang dihiasi emas permata
maka jadilah kita orang asing di dalam rumah dipenuhi sanak saudara
maka jadilah kita pelarian yang terputus bicara kerana mereka tidak mengerti bahasa pertuturan kita

Sesekali kenangan itu menerjah pantai hati
aku terlontar kebilik kaca dikelilingi wajah-wajah diri
mengalir di dalamnya sungai madu dipenuhi serbat cinta
aku bahagia mengutip cebisan-cebisan kaca yang terhempas ke batu
aku bahagia membalut bilah-bilah runcing yang menembusi dada
aku mahu kembali kepada-Nya dengan penuh reda
aku mahu kembali kepada-Nya dengan hati yang tenang dan bahagia.

Yajuk
Bukit jering
21 april 2012

No comments:

Post a Comment