Hujung jemariku pernah menyentuh seuntai daun yang jatuh di pelataran nisan tanpa nama; jasadku terbujur kaku. Daun persegi lima yang menyerupai tangan dengan jejari pucat dan bertulang rapuh terkadang terinjak oleh kaki-kaki pasangan yang sedang bercinta
atau kaki-kaki yang terpelehok kerana duka.
Di taman ini, musim meruntuhkan segenap sayap bumi namun tidak mengusir keindahan. Pohon-pohon yang kaku tanpa daun tetap menyapa mereka yang menyusuri liku jalan pada bebatuan yang tersusun rapi, serapi rindu yang tetap aku simpan pada ceruk hatiku yang bernanah.
Lihatlah kupu-kupu biru yang berterbangan di antara daun yang jatuh satu persatu bersama angin, syahdu mewarnai sisi langit yang kelabu. Mendung bukan penghalang bahawa kesempatan tertutup. Bukan musim yang menentukan hidup, maka tersenyumlah pada matahari yang malu. Akan sapa lembut embun sebening kristal yang menyaput genit di pucuk-pucuk rerumputan. Kilaunya menyimpan kesejukan yang boleh kamu bawa tidur bila hatimu resah.
Maka piculah peluru di genggamanmu pada sebuah hati yang terlupa di sebuah daerah sebelum musim panas menghanguskannya. Aku memang mengharapkan kamu menghunus jantungku namum kamu tidak sudi, maka aku menghunus nadiku dengan sisi tajam kerinduan
menyayat nafasku dengan noda pencemaran asap kenderaan tua yang rosak sepertinya kehidupan yang semakin usang.
Dan jasadku dimakamkan dengan nisan tanpa nama. Siapa yang sudi mengenaliku? Si penadah kesedihan. Maka aku cuma dapat mengumpulkan ribuan daun yang asyik menari bersama angin dalam bentuk jari-jari yang rapuh agar kelak aku dapat menceritakan bahawa diri ini cuma insan kerdil terpelehok di sebuah daerah pada penjuru dunia.
~ Bintang Kartika
No comments:
Post a Comment